Kerjaya kelab José_Altafini

Palmeiras

Altafini melakukan penampilan sulungnya untuk kelab Brazil-Itali di São Paulo, Palmeiras pada 29 Januari 1956. Beliau menjaringkan gol pertamanya pada perlawanan tersebut dan menjadi penjaring termuda kelab iaitu ketika usia 17 tahun serta rekod tersebut masih gah hingga ke hari ini.[13] Beliau beraksi untuk kelab Brazil tersebut selama dua musim (1956 dan 1957). Beliau menjaringkan 32 gol dalam 63 perlawanan kompetitif dan 83 gol dihasilkan dalam 114 perlawanan jika termasuk perlawanan separuh rasmi dan persahabatan.[14] Nisbah jaringan golnya iaitu 0.74 gol setiap perlawanan meletakkannya sebagai pemain kelima terbaik Palmeiras.[15] Pada 9 Jun 1957, beliau mencetak kelima-lima gol Palmeiras dalam perlawanan menentang Noroeste sekali gus beliau mencipta rekod pemain Palmeiras pertama menjaringkan gol terbanyak dalam sesuatu perlawanan.[16] Pada 6 Mac 1958, Altafini menjaringkan dua gol dalam perlawanan bersejarah menentang pasukan legenda, Santos yang dibintangi Pelé, Pepe dan Zito yang berlangsung di Torneio Rio-São Paulo. Walaupun Altafini menghasilkan gol, perlawanan berkesudahan 7-6 berpihak kepada Santos.[17]

Milan

Altafini beraksi untuk Milan

Altafini memulakan kariernya di Itali dengan berpindah ke A.C. Milan pada tahun 1958 selepas aksi Piala Dunia di Sweden. Bakat dan potensinya dikesan oleh ejen Milan ketika Altafini mengikuti perlawanan persahabatan di Itali menenetang kelab Internazionale dan Fiorentina dalam persiapan menghadapi kejohanan akan datang dan Altafini menyumbat gol pada perlawanan tersebut. Beliau dibeli oleh kelab Itali sebelum kejohanan Piala Dunia di Sweden dengan nilai 135 juta lira Itali.[18] Altafini melakukan penampilan sulungnya untuk Milan pada 21 September 1958 ketika beliau berusia 20 tahun. Pada musim pertamanya di Milan, beliau menjaringkan 28 gol dalam 32 penampilannya di Serie A selain beliau meraih kejuaraan "Scudetto" pertamanya. Beliau turut menghasilkan empat gol dalam empat perlawanan Coppa Italia pada musim tersebut. Secara keseluruhannya, beliau menjaringkan 32 gol sepanjang 36 kemunculannya dalam seluruh kejohanan.[19][20][21] Beliau menghasilkan gol liga sulungnya pada 5 Oktober menentang Bari. Altafini merupakan penjaring terbanyak Coppa Italia 1960-61 dengan mencetak empat gol walaupun Milan gagal lolos ke pusingan kedua kejohanan. Pada 27 Mac 1960, Altafini menjaringkan empat gol dalam pertembungan Milan menentang musuh tradisi, Inter Milan yang berkesudahan Milan menang 5-3. Pada musim-musim berikutnya, Milan menghuni tangga kedua dan ketiga liga dan Altafini meneruskan rentak cemerlangnya apabila jaringan golya mencecah lebih 20 gol.[22] Pada 12 November 1961, beliau menjaringkan empat gol ketika menentang Juventus sekali gus membolehkan Milan meraih kejuaraan Serie A sekali lagi ketika musim 1961–62. Pada musim yang sama, Altafini dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Serie A dengan menjaringkan 22 gol dalam 33 perlawanan. Anugerah itu dikongsi bersama Aurelio Milani.[23][24]

Dalam perlawanan akhir Piala Eropah 1963, Altafini menjaringkan dua gol menentang Benfica bagi memastikan Milan merangkul kejuaraan Eropah pertama.[25] Perlawanan tersebut berkesudahan 2-1 dan Altafini menamatkan saingan kejohanan Piala Eropah sebagai penjaring terbanyak dengan menjaringkan 14 gol[26][27] dan rekod itu dikejutkan pada musim 2013-14 oleh Cristiano Ronaldo yang menghasilkan 17 gol.[28] Ketika Milan mencatatkan kemenangan 5–0 ke atas l'Union Luxembourg, beliau menjaringkan kelima-lima gol Milan pada perlawanan tersebut dan rekod tersebut dikongsi lapan pemain lain termasuklah Lionel Messi.[29][30] Milan tewas dalam perlawanan akhir Piala Antara Benua 1963 kepada Santos 1-0 dalam perlawanan play-off selepas terikat seri 6-6 secara agregat. Altafini menjaringkan satu gol pada kejohanan tersebut pada perlawanan kedua yang menyaksikan Milan tewas 4-2. Persembahan cemerlang Altafini membolehkannya dicalonkan dalam anugerah Ballon d'Or 1963 dan 1964. Beliau menduduki tempat ke-11 dan ke-16 masing-masing. Kemunculannya lebih terhad pada musim-musim seterusnya dan Milan turut merangkul sedikit trofi. Milan menghuni tempat kedua di belakang Internazionale pada musim 1964–65.[31] Sepanjang tujuh musimnya bersama Milan, Altafini merangkul dua kejuaraan Serie A, satu trofi Piala Eropah serta dianugerahkan sebagai penjaring terbanyak Serie A, Coppa Italia dan Piala Eropah.[32]

Napoli

Pada tahun 1965, Altafini melakukan perpindahan ke Napoli kerana berselisih pendapat dengan Amarildo dan Paolo Ferrario ketika di Milan.[33] Di Napoli, beliau membentuk barisan serangan mantap bersama playmaker Argentina-Itali iaitu Omar Sivori serta mereka merupakan rakan sepasukan ketika mewakili Itali ke kejohanan Piala Dunia 1962 di Chile.[34] Beliau kekal di Napoli selama tujuh tahun sehingga tahun 1972. Pada 31 Disember 1967, ketika perlawanan menentang Torino yang berkesudahan seri 2-2, Altafini menjaringkan gol akrobatik iaitu sepakan gunting. Gol tersebut amat luar biasa ("golaço") dan mengangkatnya sebagai pemain popular dalam kalangan peminat Napoli.[35] Saat di Napoli, beliau membantu Napoli mencabar gelaran "Scudetto". Beliau membantu Napoli mencatat keputusan terbaiknya di Serie A pada musim 1967-68 apabila Napoli menghuni tangga kedua liga di belakang pendahulu liga, Milan. Beliau turut merupakan penjaring kedua terbanyak Serie A pada musim tersebut. Selain itu, Alfatini membantu Napoli menduduki tangga ketiga liga pada tahun 1966 dan 1971. Ketika musim 1971–72, Altafini membantu Napoli mara ke final Coppa Italia 1971–72 walaupun mereka kecundang kepada kelab lama Altafini, Milan dengan skor 2-0. Sepanjang tempoh kariernya di Napoli, beliau hanya meraih kejuaraan kecil iaitu Coppa delle Alpi ketika musim 1966–67.[36]

Juventus

Altafini (kiri) bersama rakan sepasukannya di Juventus, Dino Zoff pada tahun 1972.

Altafini berpindah ke Juventus pada tahun 1972 dan beliau bergandingan dengan bekas rakan sepasukannya di Napoli iaitu Dino Zoff. Walaupun usianya semakin melonjak tua, beliau sering digunakan sebagai pemain gantian. Altafini membantu Juventus meraih dua gelaran "Scudetto" ketika musim 1972–73 dan 1974–75. Ketika musim 1972–73, Juventus berada di tangga kedua liga di belakang pendahulu, Milan. Pada perlawanan liga terakhir Juventus pada musim tersebut iaitu menentang Roma, Juventus ketinggalan pada separuh masa pertama tetapi Altafini menjaringkan gol penyamaan penting (gol kesembilan Altafini pada musim tersebut) sebelum Antonello Cuccureddu menyumbat gol kemenangan pada lewat permainan manakala Milan sebagai pendahulu liga tewas kepada Hellas Verona. Kemenangan yang dicatatkan oleh Juventus pada perlawanan terakhir liga membolehkan mereka meraih "Scudetto".[37][38] Selain itu, kenangan lain Altafini bersama Juventus ketika beliau menjaringkan gol menentang kelab lamanya, Napoli ketika musim 1974-75 di kala usia 37 tahun.[39] Sebelum perlawanan tersebut, Juventus berada di puncak liga dan berada kelebihan dua mata berbanding Napoli yang menghuni tangga kedua liga. Altafini beraksi sebagai pemain gantian ketika beberapa minit sebelum wisel penamat ditiupkan dan beliau menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-88 sekali gus meraikan kemenangan Juventus ke atas Napoli dengan skor 2-1. Kemenangan ini turut menyaksikan Juventus sekali lagi merangkul "Scudetto". Altafini pula menjaringkan lapan gol dalam 20 kemunculannya pada musim tersebut.[40]

Di samping itu, Altafini membantu Juventus melangkah ke final Coppa Italia dan Piala Eropah pada tahun 1974. Pada musim tersebut, Juventus hampir meraih rekod "treble" apabila tewas dalam kedua-dua aksi final kejohanan tersebut walaupun telah merangkul "Scudetto".[41] Juventus tewas kepada kelab lama Altafini, Milan pada aksi final Coppa Italia menerusi penentuan penalti manakala dalam aksi final Piala Eropah, mereka dikecewakan wakil Belanda, Ajax.[42][43] Ketika musim 1973–74, Juventus gagal meraih sebarang trofi manakala Altafini mencetak tujuh gol dalam 21 kemunculan dan pada musim terakhirnya bersama Juve, Altafini hanya tampil dalam 10 perlawanan. Walau bagaimanapun, Juventus hampir merangkul "Scudettto" apabila mereka menghuni di tangga kedua liga di bawah pendahulu dan musuh tradisi, Torino. Altafini memutuskan beliau ingin meninggalkan Serie A selepas menempuh selama 18 musim di Itali.[44]

Saat beliau meninggalkan Juventus ketika berusia 38 tahun pada tahun 1976, Altafini telah beraksi dalam 459 perlawanan Serie A dan menjaringkan 26 gol walaupun beliau telah menghasilkan lebih banyak gol pada permulaan kariernya. Bahkan, beliau hanya menjaringkan 53 gol dalam lapan musim terakhirnya di Itali manakala setelah lapan musim beliau beraksi di Itali, Altafini telah menghasilkan 134 gol. Beliau kini merupakan penjaring gol keempat terbanyak Serie A di samping Giuseppe Meazza. Mereka berdua di belakang Silvio Piola, Totti dan Nordahl. Beliau turut memegang rekod pemain kedua di belakang Javier Zanetti yang melakukan kemunculan terbanyak di Serie A dalam kalangan pemain bukan Itali.[5]

Switzerland

Selepas meninggalkan Itali pada tahun 1976, Altafini beraksi selama empat tahun di Switzerland untuk kelab divisyen kedua, FC Chiasso sebelum layak ke Liga Super League. Beliau menjaringkan 14 gol dalam 26 perlawanan liga pada musim pertamanya di Switzerland. Kemudian, beliau beraksi untuk kelab lain di divisyen kedua, Mendrisiostar sebelum mengumumkan persaraan pada usia 42 tahun pada tahun 1980 selepas melalui 25 tahun kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.[45]

Rujukan

WikiPedia: José_Altafini http://www.paixaopalmeirense.com.br/wiki/os_vinte_... http://www.goal.com/it/Articolo.aspx?ContenutoId=8... http://www.quattrotratti.com/2010/04/brasileiros-n... http://www.rsssf.com/tablesi/italcuptops.html http://www.rsssfbrasil.com/sel/brazil195758.htm http://www.uefa.com/uefachampionsleague/news/newsi... http://www.uefa.com/uefachampionsleague/news/newsi... http://tardesdepacaembu.wordpress.com/?s=mazola http://eu-football.info/_player.php?id=384 http://www.enciclopediadelcalcio.it/6768-13.html